09 Disember, 2011

AKHBAR "HARIAN METRO", 9 DISEMBER 2011


PASUKAN bola sepak bawah 10 tahun CIMB YFA dari Selangor muncul juara sulung Piala Kenari Kid 2011 di Stadium Mini Hicom-Honda di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.


CIMB YFA muncul johan Kumpulan C selepas membenam tiga pencabarnya, TLJ FC, Harimau Malaya dan Kota Damansara untuk ke suku akhir sebelum menewaskan SPT FC di suku akhir.


Di separuh akhir, CIMB YFA menumpaskan Ombak FC dari Batu Caves, Selangor untuk bertemu Akademi Nuri dari Sungai Buloh, Selangor di final.

Ketenangan dan kecekapan penjaga gawang CIMB YFA menidakkan lebih lima percubaan lawan untuk membolosi gol mereka sebelum melakukan serangan mengejut hingga memperoleh satu gol berharga menjadikan kedudukan 1-0 hingga tiupan wisel penamat.

Sebagai juara, CIMB YFA merangkul piala, medal dan wang tunai RM600 manakala Akademi Nuri meraih wang tunai RM400 dan medal.

Pasukan Kenari Kid Langkawi berjaya merebut tempat ketiga dan wang tunai RM300 selepas menumpaskan Ombak FC 3-0 yang terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dan menerima hadiah wang tunai RM200.

Pasukan lain yang turut memeriahkan pertandingan anjuran Waris-Waris Kedah Kenari Kid Hicom-Honda (WKKKHH) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Muda itu ialah pasukan tuan rumah, Kedah Kenari Kid Hicom-Honda, MU FA, Bintang Biru dan Penang Panther.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengerusi WKKKHH, Cif Inspektor Mohd Khairi Abdullah diiringi Penyelaras Piala Kenari Kid Hicom-Honda, Dahlan Abdul Ghani.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...