19 Julai, 2008

YFA BINTANG MUDA JUARA!!!



Bertempat di Padang Pudu Ulu, Jalan Cheras Kuala Lumpur telah berlangsung satu pertandingan bolasepak untuk kategori umur 10 tahun ke bawah iaitu Pertandingan Bolasepak U10 MPAJ-YFA Bintang Muda 2008 anjuran bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan YFA Bintang Muda.


Pertandingan yang bermula seawal jam 8.00 pagi telah disertai lebih 24 pasukan seperti Akademi Bolasepak Bintang Biru (Pulau Pinang), UM Pintar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Royal Selangor Club (RSC), Bonggo FC (Felda Lurah Bilut Bentong), Bukit Indah FC, Little League Soccer, Subang Jaya FC, Brazilian Soccer School, MAN's Soccer Academy, Brazil Football Center, Ulu Kelang Recreational Club (UKRC), Arsenal Soccer School termasuklah pasukan tuan rumah sendiri YFA Bintang Muda yang turut menghantar sebuah pasukan Bawah 8 Tahun mereka yang turut dikenali sebagai YFA U8 Golden Team.


Acara dimulakan dengan perbarisan masuk setiap pasukan yang didahului dengan bendera YFA Bintang Muda, Jalur Gemilang, bendera Wilayah Persekutuan serta bendera FIFA Fair Play yang dibawa oleh 6 pemain berbakat Bintang Muda FC yang sedang beraksi di Liga Divisyen 1 Kuala Lumpur.


Majlis diberkatkan lagi dengan bacaan doa dan diikuti dengan ikrar kejohanan. Selepas itu ucapan dari wakil Pengarah Majlis Sukan Negara, En. Zulkeples Embong diikuti dengan majlis penyerahan sijil penyertaan kepada semua pasukan yang terbabit.


Kesemua pasukan telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan 6 pasukan setiap satunya. Setiap perlawanan mengambil masa selama 10 minit. Permainan tampak seimbang dengan setiap pasukan bersilih ganti melakukan serangan demi untuk mendapatkan mata untuk layak keperingkat seterusnya.


Tepat jam 12.00 tengahari, kesemua perlawanan di peringkat kumpulan telah berakhir dan para pengadil pertandingan sibuk mengira mata untuk menentukan kedudukan dalam kumpulan. Dari 24 pasukan yang bertanding, 8 pasukan berjaya mara ke peringkat suku akhir iaitu Bukit Indah FC, Bintang Biru B, Arsenal Soccer School B, UM Pintar, Bintang Biru A, Little League Soccer, MBPJ dan YFA Bintang Muda A. Peringkat suku akhir yang dijalankan secara kalah mati turut diserikan dengan sorakan para penyokong yang mana penuh dengan emosi terutamanya dari kelumpuk para ibubapa.

Selesai peringkat suku akhir, hanya 4 pasukan sahaja yang dapat meneruskan perjuangan ke peringkat separuh akhir iaitu Bintang Biru A, Little League Soccer, MBPJ dan pasukan tuan rumah iaitu YFA Bintang Muda A. Pertandingan bertambah sengit dengan tumpuan terarah kepada 2 padang di mana berlangsungnya peringkat separuh akhir.


Selepas bertungkus lumus diperingkat separuh akhir, akhirnya pasukan yang pada mulanya berada di dalam kumpulan yang sama telah bertemu kembali di peringkat akhir iaitu pasukan MBPJ dan YFA Bintang Muda A. Permainan sememangnya hangat dengan pemain berusaha keras untuk mendapatkan jaringan awal. Namun setelah wisel penamat dibunyikan, keputusan masih lagi seri 0-0.



Ini memaksa penentuan pemenang terpaksa dilakukan menerusi sepakan penalti. Tahniah diucapkan kepada YFA Bintang Muda kerana telah berjaya menjuarai pertandingan ini. Sudah pastinya kejayaan ini adalah hasil penat lelah pelatih muda ini menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh. Hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Teknikal YFA Bintang Muda iaitu En. Radha Krishnan sendiri.



Berikut adalah kedudukan akhir pertandingan:


Juara : YFA Bintang Muda A

Naib Juara : MBPJ

Tempat Ketiga : Little League Soccer

Tempat keempat : Bintang Biru A

Piala Fair Play : YFA U8 Golden Team

Pemenang acara perbarisan masuk : Arsenal Soccer School


Dalam kesengitan perlawanan serta keterikan cuaca tengahari, turut diadakan acara cabutan bertuah dimana 2 pemenang bertuah akan membawa pulang sebuah basikal BMX yang beharga RM219.00 setiap satunya.


Majlis penyampaian hadiah berakhir pada jam 4.00 petang. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada pasukan yang bertanding. Tidak lupa juga uapan terima kasih tidak terhingga kepada para jurulatih, ibubapa, pengadil perlawanan, pengadil kejohanan, urusetia pertandingan dan semua yang terlibat yang pastinya berusaha keras untuk memastikan pertandingan ini berlangsung dengan jayanya.


Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penaja kami, baik penaja individu, berkumpulan maupun penaja korporat yang sudah semestinya turut memeriahkan lagi acara berprestij ini.


Dari YFAMALAYSIA.COM, Tahniah! ... Tahniah! ... Tahniah!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...