23 Ogos, 2008

ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN FAM 100 PLUS



KUALA LUMPUR (23 Ogos 2008) – Persembahan konsisten Helmi Eliza Elias sepanjang Liga Malaysia musim 2007/2008 dan aksi mantap dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab Inggeris, Chelsea telah menarik perhatian peminat yang telah memilih beliau sebagai Pemain Paling Bernilai dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM 100 PLUS 2007-2008.

Dalam satu majlis gilang gemilang di Kuala Lumpur hari ini, Helmi, 25, juga terpilih sebagai Penjaga Gol Popular musim ini dalam satu proses pengundian yang berjalan lebih sebulan.

Peminat bola sepak dari seluruh negara memberi undi di laman web rasmi FAM untuk memilih pemenang di mana Kedah yang memburu tiga kejuaraan (treble) mendominasi senarai anugerah berdasarkan kepada konsistensi mereka dengan merangkul Liga Super dan Piala FA awal musim ini.

Victor Andrag, pemain pertahanan selaku Ketua Pasukan Kedah memenangi anugerah Pemain Pertahanan Popular manakala pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri dipilih sebagai Pemain Tengah Popular.

Bekas penyerang kebangsaan, Liew Kit Kong memenangi anugerah Pemain Penyerang Popular - satu-satunya pemain yang menyekat dominasi Kedah yang turut memenangi anugerah Pemain Harapan Popular menerusi Fadly Baharom.

Kedah melengkapkan dominasi mereka dalam majlis anugerah itu apabila Marlon Alex James telah dinamakan penerima bagi anugerah Pemain Import Popular manakala ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah dianugerahkan sebagai Jurulatih Popular.

Anugerah untuk Kelab Penyokong Terbaik diberikan kepada Kelab Penyokong Bola Sepak Perak dan Persatuan Bola Sepak Terbaik dimenangi Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, sebagaimana yang diputuskan oleh FAM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...