Diam tak diam, sudah 6 tahun CIMB Foundation - YFA Bintang Muda mengorak langkah melahirkan kelompok pemain pemain yang mahir, kuat dan mantap dari segi teknikal, taktikal dan mental.
Berbekalkan objektif untuk melahirkan pemain yang berpendidikan bolasepak, komited serta menjadi contoh kepada pemain lain, Padang Bolasepak Awam Sentul menyaksikan 3 orang pelatih cilik diasuh agar dapat merasai keseronokan bermain bolasepak dengan didikan yang betul.
Selain dari itu, demi untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak Malaysia dengan melahirkan pemain pemain berbakat serta mengelakkan remaja dari terjebak dengan aktiviti tidak sihat telah mendorong CIMB Foundation - YFA Bintang Muda membuka lebih banyak cawangan.
Turut mendapat tempat adalah untuk melahirkan jurulatih bolasepak akademik dan profesional yang menggunakan sains sukan untuk membantu mengembangkan kualiti pemain dengan merancang, menilai, menguji dan memantau prestasi jurulatih sedia ada disampaing menerima kemasukan jurulatih-jurulatih baru yang berpengalaman luas dalam sukan bolasepak.
Hingga kini, CIMB Foundation - YFA Bintang Muda boleh berbangga dengan benih yang telah disemai di Sentul yang bercambah hingga ke Pandan Indah, Cheras, Sg. Buloh dan terkini Bukit Beruntung.
Tidak perlu menghuraikan satu persatu kejayaan demi kejayaan yang diperolehi Akademi maupun mengembar-gemburkan pencapaian demi pencapaian yang para pelatih kecapi, CIMB Foundation - YFA Bintang Muda tetap akan berdiri demi mengembalikan MARUAH BOLASEPAK TANAHAIR!
Sekalung ucapan terima kasih buat kesemua ibubapa, baik dari era penubuhan Akademi sehinggalah ke era ini, yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam sama sama menaikkan nama CIMB Foundation - YFA Bintang Muda. Terima kasih juga kepada semua jurulatih-jurulatih yang sanggup berpanas dan berhujan demi melatih anak-anak ini meminati sukan bolasepak.