05 November, 2010

PELANCARAN JERSI BARU SKUAD KEBANGSAAN 2010

Sekali lagi, Akademi Bolasepak CIMB-YFA Bintang Muda telah diberi kepercayaan mewakili akademi bolasepak akar umbi di Malaysia bagi menggalas tanggungjawab memastikan kesinambungan bolasepak negara dapat diteruskan ke peringkat yang lebih cemerlang lagi dalam satu majlis rasmi di Wisma FAM pada 03/11/2010 yang lalu.





Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama syarikat pengeluar barangan sukan terkemuka dunia, Nike adalah bagi memperkenalkan serta merasmikan jersi baru skuad kebangsaan yang akan menggunakannya buat kali pertama di Jakarta Indonesia sempena Kejohanan AFF Suzuki Cup 2010 pada bulan Disember 2010 nanti.


Tidak seperti pelancaran jersi baru pada tahun 2008, majlis dijalankan secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran Timbalan Presiden FAM yang juga Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Majlis bermula dengan 32 pelatih CIMB-YFA Bintang Muda berarak masuk bersama 32 pemain pasukan kebangsaan ke tengah padang berlatarbelakangkan poster pemain kebangsaan yang diketuai oleh ketua pasukan, Aidil Zaquan Razak.


Selepas Tengku Abdullah memberikan ucapan, upacara pelancaran dilakukan dengan pemain kebangsaan membuka jaket yang dipakai dan disarungkan ke badan pelatih CIMB-YFA Bintang Muda dan sekaligus mempertontonkan kepada hadirin yang hadir rupa bentuk jersi kebangsaan yag baru.

Selepas itu, beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh telah menyarungkan 'mafla' kepada setiap seorang pemain kebangsaan. Upacara diteruskan lagi dengan Tengku Abdullah menyerahkan Bendera Jalur Gemilang kepada ketua jurulatih pasukan kebangsaan, K. Rajagopal.

(Foto adalah hakmilik Sports Malaysia. Terima kasih Sports Malaysia!)

Sebelum berangkat pulang, Tengku Abdullah turut diperkenalkan kepada pelatih CIMB-YFA Bintang Muda. Sebaik sahaja majlis pelancaran selesai, para pelatih CIMB-YFA Bintang Muda tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra bersama para pemain kebangsaan yang jelas amat 'sporting' pada petang tersebut.

 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...