03 Ogos, 2009

KITA JUARA!!!


Sesuatu yang tidak dapat digambarkan melalui perkataan apabila menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Antarabangsa RSC U12 Ke 7 2009 diantara CIMB Foundation - YFA Bintang Muda dan 1st Touch Assumption, Pulau Pinang.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan telah beraksi dengan baik dengan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda telah menjadi johan bagi Kumpulan C pada hari pertama pertandingan iaitu pada hari Sabtu, 1 Ogos 2009. Mengikut peraturan, johan dan naib johan kumpulan akan mara kepusingan kedua.

Meneruskan perjuangan pusingan kedua pada hari Ahad 2 Ogos 2009, CIMB Foundation - YFA Bintang Muda telah diletakkan di dalam kumpulan yang sama bersama pasukan RSC Harimau dan juga CIMB - YFA 2010 yang berjaya menduduki tempat naib johan Kumpulan D.

Perlawanan pertama CIMB Foundation - YFA Bintang Muda pada pusingan kedua adalah bertemu RSC Harimau yang mana keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan. Pertemuan kedua bakal menyaksikan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda bertemu CIMB - YFA 2010.

CIMB Foundation - YFA Bintang Muda & CIMB - YFA 2010

Walaupun ibarat pertemuan 'abang' bertemu 'adik', bukanlah sesuatu yang mudah bagi 'si abang' untuk menjinakkan 'si adik' apabila mereka terpaksa berhempas pulas bagi memastikan kemenangan berada di dalam genggaman dan seterusnya mara ke peringkat separuh akhir.

Menanti diperingkat separuh akhir adalah Akademi Bolasepak Bintang Biru A. Perlawanan sememangnya agak sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pada minit minit terakhir, CIMB Foundation - YFA Bintang Muda akhirnya berjaya menembusi gawang pasukan lawan menerusi sepakan leret yang kencang dari Kapten pasukan, adik Yaqqin dan seterusnya membawa pasukan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda mara ke peringkat akhir.

Bergambar sebelum perlawanan akhir

Dari tiupan pertama wisel permulaan perlawanan akhir menentang 1st Touch Assumption Pulau Pinang, kedua dua pasukan telah mula mengasak pasukan lawan dan penguasaan bola agak seimbang. Gol pertama perlawanan telah djaringkan oleh pasukan 1st Touch Assumption namun ianya seakan membangunkan semangat pemain CIMB Foundation - YFA Bintang Muda untuk mengatur permainan dengan lebih kemas dan hasilnya, gol penyamaan menjadikan keputusan seri 1-1.

Kesungguhan mencari jaringan seterusnya menyebabkan serangan balas yang pantas dari 1st Touch Assumption berjaya menembusi gawang CIMB Foundation - YFA Bintang Muda sekali lagi. Namun semangat pemain kita tidak pernah luntur dan dengan baki perlawanan separuh masa pertama tinggal 2 minit, kita berjaya menyamakan kedudukan 2-2.

Babak separuh masa kedua menyaksikan pasukan 1st Touch Assumption memulakan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol CIMB Foundation - YFA Bintang Muda. Namun semangat juang 'sekawan anak rimau' CIMB Foundation - YFA Bintang Muda tidak mudah goyah dan mereka mula memperkemaskan rentak permainan mereka dengan hantaran hantaran tepat yang akhirnya menyaksikan pasukan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda menguasai permainan sehingga sentiasa mengucar-kacirkan kawasan kotak penalti 1st Touch Assumption.

Hasil dari semangat juang sekawan anak rimau ini, mereka berjaya menjaringkan 2 lagi gol sehinggalah wisel penamat dibunyikan dengan keputusan perlawanan, CIMB Foundation - YFA Bintang Muda 4 - 2 1st Touch Assumption. Tahniah & Syabas!

Tidak dapat dilupakan juga sorakan-sorakan dari pemain-pemain pasukan 'senior' yang baru saja tamat pertandingan mereka dalam Kejohanan 'Master' (kategori umur 40 - 50 tahun) dan 'Grand Master' (kategori umur 50 tahun ke atas) yang memenuhi kawasan sekeliling padang. Mereka rata-rata terhibur dengan aksi-aksi yang dipamerkan oleh pemain cilik CIMB Foundation - YFA Bintang Muda hinggakan hampir keseluruhan mereka akan bersorak memberi sokongan setiap kali pasukan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda menguasai permainan.

Acara penyampaian hadiah diadakan sejurus selepas itu dan CIMB Foundation - YFA Bintang Muda, selain dinobatkan sebahai Juara Kejohanan Antarabangsa RSC U12 Ke 7 2009, turut berbangga apabila Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kejohanan dan Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir telah dimenangi oleh Adik Fawzal dan Adik Haiqal. Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada kedua mereka sertal seluruh pemain CIMB Foundation - YFA Bintang Muda.

Tidak dilupakan juga semangat serta sokongan padu dari PARA IBUBAPA/PENJAGA CIMB Foundation - YFA Bintang Muda yang tidak jemu jemu menaikan semangat pemain malah berjaya mejadikan kejohanan ini seolah-olah satu 'majlis keluarga' yang tidak mungkin dapat dilupakan sehingga bila bila.

Tahniah juga kepada pasukan CIMB - YFA 2010 yang berjaya mempamerkan semangat daya juang yang tinggi dalam setiap perlawanan. Layak ke pusingan kedua adalah suatu bonus dan merupakan pengalaman sangat berharga bagi mereka memandangkan pasukan ini rata-rata dibarisi oleh pemain CIMB Foundation - YFA Bintang Muda yang berusia 11 tahun ke bawah.

Tahniah juga kepada penganjur kejohanan, Royal Selangor Club yang berjaya menganjurkn kejohanan berprestij ini. Moga kita bertemu lagi di Kejohanan Antarabangsa RSC U12 Ke 8 2010!

Keputusan Kejohanan Antarabangsa RSC U12 Ke 7 2009


Johan
CIMB Foundation - YFA Bintang Muda



Anugerah Penjaga Gol Terbaik
Adik Muhammad Fawzal Bin Abdul Muthalib



Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir
Adik Alif Haikal Bin Lokman


** Kita MENANG sebagai SATU PASUKAN **
* Kita KALAH juga sebagai SATU PASUKAN *

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...